gejala impetigo

KENALI IMPETIGO: FAKTOR, GEJALA DAN KOMPLIKASI LAIN JIKA TIDAK DIKAWAL

November 24, 2017

Salam semua.
Hari ni Nida terpanggil untuk kongsikan berkenaan IMPETIGO kepada semua.
Ada tak yang pernah mengalami impetigo?

Apa itu IMPETIGO?
Impetigo merupakan jangkitan pada kulit yang disebabkan oleh bakteria. Ia berupa lepuhan atau kelihatan eperti bekas luka yang berkerak dan berwarna coklat. Impetigo ialah penyakit berjangkit dan sering berlaku di kalangan kanak kanak.
Oleh itu, ibu bapa harus sentiasa memastikan anak anak dalam keadaan bersih dan kurang interaksi dengan pesakit impetigo. Bagi ibu bapa yang mempunyai anak mengidap impetigo, perlu diingatkan untuk mengawal pergaulan mereka buat sementara waktu ye.
FAKTOR YANG MENYEBABKAN IMPETIGO BERLAKU
Faktor utama yang menyebabkan impetigo ialah bakteria Straphylococcus aureus atau Streptococcus pyogenes. Bakteria ini akan lebih mudah menjangkiti seseorang yang sememangnya sudah sedia mengalami luka seperti luka akibat gigitan serangga, terjatuh atau terhiri oleh benda tajam.
Pesakit eczema juga sangat terdedah kepada masalah impetigo ini.
Faktor lain yang akan meningkatkan risiko jangkitan dan penyakit impetigo ialah;
  • ·    Melakukan aktiviti lasak dan sentuhan seperti olahraga, sukan bela diri, bola keranjang atau bola sepak
  • ·         Berada dalam lingkungan yang ramai. Seperti yang telah dinyatakan, bakteria akan lebih mudah merebak apabila terjadinya sentuhan dengan pesakit. Jumlah yang ramai dalam satu kawasan akan mempercepatkan jangkitan.
  • ·       Usia anak anak dari 2-5 tahun mempunyai kadar jangkitan yang tinggi. Ini kerana, pada masa ini system imunisasi anak anak masih belum terbentuk sempurna.
  • ·     Suhu yang lembap. Macam kita belajar mikroorganisma dulu, miroorganisma memang mudah hidup dalam keadaan bersuhu lembap. Oleh itu, elakkan lah anak anak sentiasa berpeluh dan pastikan pakaian kegunaan anak anak kering dengan baik.
  • ·     Sistem imun badan yang lemah. Ini biasanya mereka yang sering jatuh sakit atau bila sakit lambat nak sembuh.
  • ·   Pesakit diabetis. Pesakit diabetis mempunyai kadar kesembuhan luka yang rendah. Apabila luka sikit pun lambat nak sembuh, maka hindarilah daripada berdekatan dengan pesakit yang kita tahu dah disahkan dengan impetigo.

Gejala impetigo terbahagi kepada 2 iaitu:

1.    Impetigo Bulosa
  1. Biasa dialami dengan tanda kulit melepuh dan berisi cairan (nanah), demam dan pembengkakan kelenjar limfoma.
  2. Pembengkakan kelenjar limfoma disebabkan oleh pengawalan penyakit yang mengakibatkan demam.
  3. Berikut merupakan perkembangan gejala impetigo bulosa;
  • Kulit yang melepuh dan berisi cecair berukuran 1-2 sentimeter akan berasa sakit dan membuatkan kulit di sekitarnya gatal.
  • Selepas cecair itu pecah, ia akan meninggalkan bekas berkerak berwarna kuning/coklat.
  • Selepas sembuh, kerak itu akan hilang tanpa meninggalkan bekas.
2.    Impetigo Nonbulosa
  1. Akan muncul bintik-bintik merah seperti luka dan akan meninggalkan kerak kering berwarna coklat. Walaupun ia tidak melepuh, namun impetigo non bulosa lebih cepat merebak berbanding impetigo bulosa.
  2. Jangkitan biasanya akan muncul di sekitar tengah tubuh antara pinggang dan leher, atau lengan.
  3. Gejala impetigo tidak akan terus dihidapi oleh pesakit. Selepas terjangkit, pesakit akan mula menunjukkan simtom simtom impetigo sekitar 4-10 hari kemudiannya. 
  4. Impetigo nonbulosa lebih sering terjadi daripada impetigo bulosa. Untuk mengelakkan impetigo cepat merebak, kurangkan sentuhan kulit pada kawasan yang dijangkiti.
  5. Impetigo nonbulosa biasa terjadi di sekitar mulut dan hidung, kemudian akan  merebak ke bahagian badan sekiranya terjangkit darpda baju, tuala atau barang yang digunakan di badan oleh pesakit.
  6.  Berikut merupakan perkembangan gejala impetigo nonbulosa. 
  • Munculnya bintik-bintik yang tidak berasa sakit tetapi gatal.
  • Apabila digaru, jangkitan ke kawasan kulit yang lain terjadi lebih cepat.
  • Bekas tadi akan bertukar menjadi kerak warna kecoklatan.
  • Setelah kering, kerak akan meninggalkan pula bekas berwarna merah merah. Ia akan sembuh dalam beberapa hari atau minggu.


BAGAIMANA DOKTOR MELAKUKAN DIAGNOSIS PADA PESAKIT IMPETIGO?
Apabila anda berjumpa doktor, doktor akan melihat tanda-tanda yang dilihat pada kulit yang dijangkiti. Lepas tu, baru ujian makmal akan dilakukan dengan mengambil darah pesakit sekiranya impetigo bertambah buruk atau untuk memastikan bahawa pesakit mengidap impetigo.
APAKAH RAWATAN IMPETIGO YANG BIASA DILAKUKAN?
Kebanyakan kes impetigo akan sembuh secara sendiri dalam masa satu sehingga 3 minggu. Jika perlu, antibiotic akan diberikan kepada pesakit sama ada dari jenis sapu atau untuk diminum.
Antibiotik sapuan akan dibekalkan jika gejala impetigo masih ringan dan belum merebak jauh. Namun, apabila gejala semakin menular antibiotik minum akan dibekalkan.
Antara efek yang akan terjadi apabila menggunakan ubat sapu ialah rasa gatal di sekitar kulit, kulit menjadi lebih merah dan iritasi berlaku. Maka itu, kita hendaklah memastikan bahawa ubat yang diambil sesuai ye. Kalau rasa tak selesa segeralah berjumpa dengan doctor anda.
Di rumah Nida, kami hanya gunakan antibiotik jika perlu. 
Begitu juga dengan krim sapuan. Walaupun kami selesa menggunakan krim semulajadi dari Shaklee seperti Multipurpose Herbal Cream atau Vivix atau Vitamin E, kami tetap ada simpanan krim yang klinik bagi. Semuanya ikut kesesuaian kulit lah kan.
APAKAH KOMPLIKASI YANG AKAN BERLAKU SEKIRANYA IMPETIGO TIDAK DIKAWAL?
Jika tidak ditangani dengan benar, impetigo dapat menyebabkan komplikasi seperti di bawah;
  • §  Selulitis, jangkitan bakteria yang terjadi di lapisan kulit dalam.
  • §  Glomerulonefritisjangkitan di pembuluh darah kecil pada ginjal.
  • §  Septikemia, jangkitan bakteria yang terjadi di dalam darah.
  • §  Psoriasis gutata, keadaan yang berlaku setelah terjadi jangkitan kulit.
  • §  Demam Scarlet, demam yang disertai dengan ruam merah merah
  • §  Staphylococcal Scalded Skin Syndrome (SSSS), jangkitan pada kulit yang kelihatan seperti melecur.
  • §  Penyakit ektima, terjadi apabila jangkitan berlaku sehingga ke dalam lapisan kulit dan akan meninggalkan luka kekal


BAGAIMANA MENCEGAH DARIPADA BERLAKUNYA IMPETIGO?

Seperti lazimnya, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
Apabila keadaan kesihatan sudah semakin parah, ia akan menyebabkan kesukaran untuk membendung masalah daripada terus merebak.
Apa-apapun, pencegahan terbaik adalah dari rumah. Terdapat beberapa cara untuk mengelakkan impetigo merebak. Antaranya ialah;
  1. ·        Menghindari sentuhan dengan pengidap
  2. ·         Menjaga kebersihan diri dan orang sekeliling setiap masa
  3. ·         Membersihkan barang-barang sekitar anda.
  4. ·         Elakkan menyentuh luka dengan kerap.
  5. ·         Rehat secukupnya jika telah disahkan menghidap impetigo
  6. ·         Mencuci tangan dengan betul
  7. ·         Menghindari tempat yang ramai orang.
Nida harap Nida dapat bantu ramai yang tercari-cari info tentang impetigo.

Apapun juga masalah kesihatan yang kita alami, perlulah berjumpa dengan doktor. Seperti 

yang Nida war-warkan selalu, walaupun kita telah mengamalkan suplemen semulajadi, atau home remedies kita tetap perlu berjumpa doktor untuk kepastian dan nasihat.

Semoga bermanfaat.

Till then,

Nida 



You Might Also Like

0 comments

SUBSCRIBE

Like us on Facebook

beauty