Tips Parenting

INFO IBU BAPA : KELEBIHAN ANAK BERMAIN SAMBIL BELAJAR

April 27, 2014

 Hari ini suka saya kongsikan info menarik mengenai pembelajaran awal anak-anak dengan cara bermain. Ramai ibu bapa masakini yang tidak lagi menggalakkan anak-anak bermain dengan bebas, atas beberapa faktor. Bermain adalah amat penting bagi perkembangan kanak-kanak kerana ia menyumbang kepada kesihatan kognitif, fizikal, sosial dan emosi mereka. Ia juga menawarkan peluang yang baik bagi ibu bapa untuk berinteraksi dengan anak-anak mereka. Biarpun begitu banyak kebaikan yang boleh diperolehi melalui bermain untuk kanak-kanak dan juga ibu bapa, masa yang diluangkan untuk bermain secara bebas kini kian berkurangan untuk setiap kanak-kanak. Awas! Keadaan ini diakibatkan sikap ibu bapa yang terlalu mementingkan daya saing sehingga merampas peluang anak-anak untuk berseronok dan mengalami zaman kanak-kanak yang penuh keriangan.

Gembira bila tengok anak bermain aktif dengan kawan-kawan - gambar hiasan

Bermain membolehkan anak anda untuk menjadi penentu. 

Ketika bermain secara bebas, kanak-kanak dapat menjadi penentu. Mereka berlatih membuat keputusan, bergerak pada masa mereka sendiri dan meneroka bidang yang diminati. Apabila waktu bermain dikawal oleh orang dewasa, kanak-kanak diberitahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana ia harus berlaku. Ini mengurangkan kebaikan yang boleh ditawarkan oleh mainan secara bebas, terutamanya dari segi perkembangan kreativiti, kepimpinan dan kemahiran berkumpulan. Kanak-kanak yang bermain terbukti lebih aktif dan cerdas dalam pembelajaran kerana otak mereka lebih bergerak aktif berbanding kanak-kanak yang pasif. 

Alangkah seronoknya apabila balik dari sekolah, anak kita petah bercerita bagaimana dia terpilih menjadi seekor singa yang hebat di dalam sesi bercerita di kelas, ataupun dipilih menjadi ketua dalam kumpulannya, atau pun apa jua pencapaian yang diperolehinya bukan? 

Bermain memupuk pengetahuan persekitaran anak.


Apabila mendidik anak dengan bermain, sekali sekala wujudkan persekitaran sebenar permainan mereka. Bawalah mereka ke padang permainan, ke tepi pantai, ke kawasan rekreasi di mana meraka boleh mengenali alam sekitar dengan lebih dekat. Biarkan mereka menggunakan deria rasa sepenuhnya, belajar dengannya dan anda akan terkejut dengan hasil pembelajaran itu nanti. Biarkan mereka merasa selesa bersatu dengan alam, dan secara tidak langsung ini akan membina keyakinan mereka, dan pengetahuan mereka terhadap alam sekitar. 

Apabila anak-anak bermain di luar dengan teman teman sebaya, mereka akan memupuk kemahiran bersosial secara tidak langsung. Ini akan memudahkan mereka apabila masuk ke alam persekolahan, di mana tidak akan berlaku drama tangisan sepanjang minggu di dalam kelas, mahupun pemencilan diri mereka kerana merasa tidak selamat berada di dalam sekumpulan orang yang asing.

Membina Keyakinan Diri.

Seperti yang dinyatakan di atas, bermain juga mengelakkan anak-anak merasa terasing dari kawan sebaya. Ibu bapa juga digalakkan untuk bermain bersama untuk mengajarkan kepada anak-anak perkara yang berbahaya dilakukan dan yang selamat dilakukan. Kita juga digalakkan untuk mengajar anak-anak cara mempertahankan diri jika berlaku penindasan terhadap mereka, dalam permainan kecil. Pendekatan yang ringkas dan mudah diperlukan oleh anak-anak ini agar mereka faham bahawa ada orang dewasa yang mereka boleh percayakan.

Apabila keyakinan diri anak terbina, secara tidak langsung mereka juga akan bijak mengawal emosi. Mereka tahu apabila berbuat sesuatu kesalahan, pasti akan dimarah atau ditegur (dengan berhemah). Oleh itu, semasa proses bermain roleplay dengan anak-anak patung atau permainan mereka, anak-anak akan cuba menjadi ibu bapanya, gurunya, atau orang dewasa yang biasa bersama mereka dan meniru cara kita bercakap. 


Bermain menjalin kemesraan antara ibu bapa dan anak-anak
Interaksi yang berlaku ketika bermain memberitahu kanak-kanak bahawa ibu bapa mereka memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka dan ini membantu untuk menjalin kemesraaan yang berkekalan. Apabila ibu bapa memerhati dan turut serta dalam permainan yang diarah oleh si anak, mereka akan dapat melihat dunia dari perspektif dan keperluan anak tersebut. Selain itu, ibu bapa juga akan dapat berkomunikasi dengan lebih berkesan dengan anak mereka.

Buat ibu bapa, ambillah peluang untuk bermain dengan anak-anak kita ketika mereka masih kecil lagi. Hubungan ibu bapa dengan anak yang baik, akan menghasilkan anak yang lebih mentaati kedua orang tua nya, lebih tekun, lebih baik dan lebih berdisiplin. Sesungguhnya, anak membesar hanya sekali. Hargailah setiap masa yang ada untuk bersama mereka, walau betapa penat pun kita bekerja. 



Terdapat beberapa jenis bermain yang boleh kita jadikan info berguna. 
(sumber : www.babytalktips.com)

Jenis-jenis bermain
Seperti orang dewasa, kanak-kanak menyukai kepelbagaian dan akan bertukar dari satu jenis permainan ke jenis yang lain, menggunakan mainan berbeza dalam jangka masa yang singkat. Lazimnya, terdapat enam jenis cara bermain yang membantu perkembangan kanak-kanak.
shutterstock_25620733Bermain secara kreatif berlaku apabila seorang kanak-kanak meluahkan idea dan perasaannya untuk mencipta karya tersendiri. Contohnya, melukis gambar, memodel haiwan dari plastisin atau membina rumah menggunakan blok. Seorang anak kecil lazimnya lebih mudah meluahkan idea dan perasaannya dengan melukis, berbanding melalui perkataan kerana tatabahasa dan pertuturannya masih terhad. Apabila kanak-kanak itu semakin membesar dan lebih petah bercakap, dia mungkin boleh menulis cerita, sajak atau teater.
Bermain secara penemuan membolehkan kanak-kanak untuk mempelajari tentang warna, bentuk, saiz dan tekstur. Kanak-kanak tersebut juga akan mempelajari tentang sebab dan kesan, contohnya, sesuatu itu boleh pecah maka dia perlu menjaga barang miliknya dengan rapi.
Bermain secara imaginatif merupakan permainan berpura-pura atau fantasi. Selalunya, kanak-kanak gemar meniru tingkah laku orang dewasa dan membayangkan bahawa mereka menjadi orang lain atau seekor haiwan seperti arnab atau kucing. Ini membantu kanak-kanak itu memahami tingkah laku orang lain dengan lebih luas.
Bermain secara fizikal atau senaman berlaku apabila seorang kanak-kanak bergerak secara aktif, seperti – berlari, melompat, memanjat, merangkak, mengimbang, menghayun, melontar bola dan sebagainya.
Bermain secara sosial berlaku apabila kanak-kanak bermain bersama. Ia mengajar kanak-kanak untuk bekerjasama, berkongsi dan berunding. Ia juga mendidik kanak-kanak bahawa tingkah laku buruk dan menipu membawa padah. Pergaduhan semasa bermain di antara kanak-kanak adalah normal. Ia membantu kanak-kanak mempelajari tentang reaksi satu sama lain dan bagaimana bersimpati dan menyelesaikan konflik.
Oleh itu, sangat digalakkan untuk anak-anak kecil bermain sesuai usia mereka untuk merangsang perkembangan minda, fizikal dan emosi mereka. Buat ibu bapa bekerja, marilah kita sama-sama mencuri masa yang ada, walau sesibuk mana pun kita untuk sama-sama bermain dan meluangkan masa dengan anak-anak. Kita adalah pembentuk masa depan mereka, pelindung mereka dan guru mereka di rumah.

Segala yang baik itu datang dari Dia. Wallahualam.
Kongsikan info anda bersama kami di ruangan komen tau^^
Nida : 0165842330
www.facebook.com/ibugojes.com

You Might Also Like

0 comments

SUBSCRIBE

Like us on Facebook

beauty